Header Ads

Prihatin Dengan Perubahan Aneh, Ini Surat Terbuka Buat "Princhiqy Dinzly" Oleh Mufti Wilayah Persekutuan




Nama Iqram Dinzly atau Princhiqy Dinzly kini sering menjadi bualan netizen gara-gara berkelakuan pelik yang menimbulkan tanda tandanya dan kerisauan peminatnya dan netizen. 

Selepas beberapa video 'live' di Instagram dengan tarian aneh dan pelik sehingga menarik pelbagai pihak. Ada yang menganggap Iqram mengalami kemurungan selepas kematian ayahnya.

Isu Iqram Dinzly ini turut menarik perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang menulis surat terbuka khas untuk pelakon tersebut.


SURAT TERBUKA KEPADA SAUDARA IQRAM DINZLY

السَّلامُ عَلَيْكُم ورَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكاتُهُ
Salam perkenalan kepada saudara yang kami kasihi, Iqram Dinzly.

Baru-baru ini kami terbaca laporan akhbar, juga kisah-kisah di media sosial berkenaan kehidupan saudara kini. Pertamanya, kami ingin ucapkan takziah atas pemergian papa tercinta, almarhum Muhammad Saipuddin Ahmad Said. Semoga Allah menghimpunkannya bersama-sama dengan orang yang soleh. 

Kami percaya, saudara Iqram dan mama, amat tabah menghadapi ujian ini. Kami sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Iqram sekeluarga. Kami juga yakin, Iqram mampu menjaga mama dengan sebaiknya setelah pemergian papa yang dikasihi

Berkenaan hal-hal yang berlegar di media sosial, kami mengambil sikap berkecuali kerana kami tidak tahu keadaan yang sebenar. Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum akan cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap saudara. 

Nasihat kami, cemuhan-cemuhan berkenaan tidak perlu dipedulikan dan diambil perhatian kerana sejujurnya ia akan lebih memberikan tekanan kepada saudara.

Dalam pada itu, kami nasihatkan saudara supaya mendekati al-Qur’an, begitu juga zikir-zikir. Kami ada menonton beberapa LV saudara yang menunjukkan saudara adalah seorang yang melazimi zikir. Itu adalah hal yang amat baik kerana hanyasanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa akan menjadi tenang. 

Akhir kalam, kami menjemput saudara Iqram untuk hadir ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Putrajaya untuk kita lebih mengenali antara satu sama lain, juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan saudara. Mungkin ada sisi-sisi tertentu yang boleh kami usahakan untuk bantuan dan sokongan. Boleh hubungi kami melalui Twitter @drzul_albakri atau Instagram @drzulkifli.albakri

Semoga Allah memberikan ketabahan kepada saudara dalam menempuh ranjau kehidupan dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Amin.

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Rabu, 27 Disember 2017 bersamaan 8 Rabi’ul Akhir 1439H
3.08 petang.


FACEBOOK HERBAL RIMBA


No comments

Powered by Blogger.